Wednesday, December 3, 2008

KANTA SENTUH: PAKAR OPTOMETRIS MAHU KEMENTERIAN AMBIL TINDAKAN


KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Persatuan Optometri Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pembekal atau pengedar yang menjual kanta sentuh kepada pengamal optometri yang tidak berlesen.


Presidennya Dr Chung Kah Meng berkata mana-mana pembekal yang mengamalkan amalan memberi kanta sentuh percubaan secara percuma tanpa pemeriksaan oleh juruoptik yang bertauliah dan berlesen harus didakwa.


Katanya laporan mengenai jangkitan fungas pada kornea mata oleh pemakai kanta sentuh baru-baru ini telah menyebabkan banyak kekeliruan dan tidak kepastian di kalangan pengguna.


Menurut Akta Optik 1991, katanya, hanya juruoptik dan optometris yang berdaftar dan berlesen sahaja boleh mengesyorkan dan memberikan kanta sentuh.


"Semua pengamal optometri dan juruoptik berlesen diberi perakuan pengamalan tahunan oleh Majlis Optikal Malaysia yang terletak di Kementerian Kesihatan. Pengguna boleh meminta pengamal menunjukkan sijil jika mahu mengetahui mereka itu berlesen atau tidak," katanya kepada Bernama di sini.


"Bagaimanapun ada ramai juruoptik yang tidak berlesen yang memberikan preskripsi kanta sentuh. Kami juga tahu ramai juruoptik yang menggunakan perkataan "Optometri" dengan pura-pura sebagai optometris dan memakaikan kanta sentuh kepada pengguna," katanya.


Dr Chung berkata persatuannya, sebagai satu-satunya badan profesional di Malaysia yang mewakili pengamal optometri dan penjagaan mata, telah meminta Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas terhadap juruoptik yang menggunakan perkataan "optometri" bagi memperdayakan orang awam.


"Persatuan Optometri Malaysia sentiasa meminta kementerian memperketatkan kawalan terhadap pengamal yang tidak berlesen.


"Pasukan petugas penguatkuasaan kementerian harus bertindak segera dan mendakwa pengamal yang tidak berlesen yang menjual kanta sentuh secara haram," katanya.


Dr Chung berkata persatuan telah meminta kementerian mempercepatkan proses menghubungkaitkan kiraan mata Pendidikan Berterusan (CE) dengan Lesen Pengamalan Tahunan di mana pengamal harus mengikuti sejumlah masa tertentu ceramah, persidangan atau latihan yang diiktirafkan oleh persatuan sebagai syarat memperbaharui lesen.


Di Malaysia, terdapat kira-kira 1,200 pengamal kanta sentuh berlesen di samping doktor mata (pakar optalmologi) yang boleh mempreskripsi kanta sentuh.


Dr Chung berkata peningkatan insiden jangkitan mata oleh pemakai kanta sentuh yang dilaporkan oleh media baru-baru ini tidak hanya semata-mata kerana penggunaan larutan pembersih tertentu.


Bagi mencegah jangkitan mata di kalangan pemakai kanta sentuh, persatuan itu meminta mereka mematuhi prosedur kebersihan seperti membasuh tangan dengan sabun dan mengeringkan tangan sebelum mengendalikan kanta sentuh, larutan pembersih dan aksesori berkaitan.


"Di samping itu, jangan basahkan kanta dengan air ludah, air botol atau air paip, dan jangan menggunakan larutan kanta sentuh selepas sebulan membuka bekas larutan. Ikut jadual tempoh masa penggunaan dan penggantian kanta sentuh seperti yang disyorkan oleh optometris dan pakar optalmologi," katanya.


Dr Chung berkata persatuannya juga menyediakan talian Hotline (012-3979498) untuk orang awam mendapatkan nasihat pada waktu pejabat atau boleh menghantar emel ke alamat amonews@yahoo.com atau akses laman web www.amoptom.org-- BERNAMA

No comments: